banner banner banner
Bayangan Cinta
Bayangan Cinta
Оценить:
Рейтинг: 0

Полная версия:

Bayangan Cinta

скачать книгу бесплатно

Bayangan Cinta
Dawn Brower

Lady Anya Montgomery dapati dirinya di waktu yang lain, bukan dalam tubuhnya sendiri, dan bertunang dengan seorang lelaki yang menjijikkan. Dia tidak tahu bagaimana dia berada dalam situasi ini atau bagaimana caranya untuk dia pulang ke rumah, tetapi hari demi hari, dia tertanya-tanya jika di sini adalah tempat yang dia seharusnya berada apabila dia mula jatuh cinta.

Lady Anya Montgomery bangun suatu hari, 20 tahun yang lalu, dalam tubuh berbeza, dengan seorang bapa yang mengawal, dan seorang tunang yang tidak diingini. Setiap hari membawa kejutan yang baharu, tetapi Anya hanya mempunyai  satu matlamat: untuk pulang ke tempat asalnya. Namun, apabila dia mula jatuh cinta, dia tertanya-tanya jika tempat ini adalah di mana dia seharusnya berada... Bahaya bakal berlaku dan dia mungkin tidak dapat untuk teruskan hidup. Anya perlu membuat keputusan yang rumit untuk selamatkan nyawa dua orang kanak-kanak, dan keputusannya akan mendatangkan impak yang besar.  Hidup dengan kesusahan daripada hasil keputusannya mungkin membuktikan bahawa dia tidak berjaya. Dia hanya perlu fahami mengapa dia dihantar ke masa lalu, dan jika dia dapat melakukan sebarang perbezaan. Dalam pencariannya, dia temui seseorang yang dapat memberikan jawapan yang dicari, dan bantunya untuk fahami segalanya. Namun, kepercayaan bukanlah mudah baginya, dan tiada yang dapat mempersiapkan Anya untuk menghadapi kejutan yang bakal menimpanya.

Bayangan Cinta

Contents

Penghargaan (#u88d12554-9965-551e-80d9-a9258c3a78a2)

1. BAB 1 (#ub99916c0-c70e-51ad-9c85-3c915ebc665f)

2. BAB 2 (#u87709bfa-8e97-5c09-9d6e-70053ad6eac4)

3. BAB 3 (#u1fd8d5b7-6697-5d5a-bc6b-baa395693b0e)

4. BAB 4 (#u5b7bc8af-1977-59f9-aea2-84554947baed)

5. BAB 5 (#u6c11b1d7-18bc-5b00-987f-38a7528fd6ba)

6. BAB 6 (#u7d59d5ad-65ad-57cc-ac5f-60ed687df714)

7. BAB 7 (#u4ee9f19b-f37c-589a-9ce0-9ceea0cceb89)

8. BAB 8 (#ud43d18b6-2da0-58d2-a250-a1773374d913)

9. BAB 9 (#uf47620a4-1b7e-5eed-a233-7abd4386ff4b)

10. BAB 10 (#u30968c15-6e5e-52b3-9f61-92df136b53cc)

11. BAB 11 (#uf64fbbc4-d65e-5bd7-87d0-bea78fd31b55)

12. BAB 12 (#u6cd1c5b9-0135-547f-bb2b-f7253e16afa8)

13. BAB 13 (#u6156b356-4ccb-5ad0-97c9-9ad6fbb0428d)

Epilog (#u6813ecd0-c0a9-55f2-8716-640679a583db)

Tentang Dawn Brower (#u90e48eb0-e6c1-5949-9535-ffca2780c870)

Ini adalah rekaan fiksyen. Nama, watak, tempat, dan insiden adalah hasil daripada imaginasi pengarang atau digunakan secara fiksyen, dan tidak ditafsirkan sebagai nyata. Sebarang persamaan akan tempat, organisasi, atau manusia, mahupun yang hidup ataupun yang mati, adalah kebetulan.

Hak cipta Vision of Love © 2020 Dawn Brower

Seni kulit buku dan suntingan oleh Victoria Miller (https://victoriamillerartist.com/)

Hak cipta terpelihara. Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian daripada terbitan ini dalam apa-apa jua bentuk dengan apa-apa jua caranya mahupun secara elektronik ataupun cetak tanpa kebenaran bertulis, kecuali dalam petikan ringkas dalam ulasan.

Untuk keluargaku, tanpamu, mesti saya akan sudah kehabisan idea sejak dahulu lagi. Mungkin saya menjadi... teruk kadangkala, tapi saya sayangkan kamu.

Terima kasih kerana menyokong saya. Tiada apa yang boleh saya katakan untuk buktikan banyak mana saya hargai kamu.

Penghargaan

Di sini sepatutnya saya berterima kasih kepada penyunting dan artis kulit buku, Victoria Miller, dengan mendalam. Dia telah membantu saya lebih dari yang boleh saya katakan. Saya hargai segalanya yang telah dia lakukan dan dia telah mendorong saya untuk berusaha lagi... dan lagi. Ribuan terima kasih.

Juga kepada Elizabeth Evans. Terima kasih kerana sentiasa ada dengan saya dan menjadi sahabat saya. Kamu sangat bermakna bagi saya. Terima kasih sahaja tidak cukup, tapi ini sahaja yang saya mampu. Jadi, terima kasih sahabatku kerana menjadi diri kamu sendiri.

1

BAB 1

4 Mei 1951

Cuaca kelihatan lebih baik dari apa yang Lady Anya Montgomery harapkan. Dalam beberapa jam lagi, Pesta Britain akan bermula, dan Anya perlu memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Hidupnya bergantung akannya. Baiklah, itu mungkin sedikit keterlaluan. Atas bantuan ayahnya, seorang bangsawan di Parkdale, Anya kaya-raya, tetapi itu bukan bermaksud dia tidak mempunyai matlamat atau cita-cita sendiri. Dia sudah setahun bekerja di Institut Filem British sebagai pembantu salah seorang wanita yang bertugas. Anya juga telah mengambil beberapa kursus di Akademi Filem BFI. Dia berharap agar dia dapat mengarah dan menerbit sebuah filemnya sendiri suatu hari nanti…

Anya bergegas ke pejabatnya dengan secawan kopi untuk bosnya. Lady Vivian Kendall sedang menelefon sambil duduk di sudut mejanya. Dia menjeling ke arah Anya dan memanggilnya masuk. Rambut hitamnya disanggul di paras lehernya. Baju satin, jacquardnya yang berwarna kobalt kelihatan anggun, skirt penuhnya dan kain hitam di bawahnya memberikan sentuhan yang menarik. Dia turut memakai seutas tali pinggan hitam, berkasut tumit tinggi bertali T, dan bersarung tangan. Apabila dibandingkan, Anya merasakan dirinya kelihatan selekeh dengan skirt merah dan kemeja putihnya yang sederhana, dan kasut hitam berjenama Mary Jane. Dia ingin memakai pakaian yang selesa untuk menghadapi hari yang panjang. Nampaknya, Lady Vivian tidak tahu erti selesa dari segi praktikal.

“Lihat jika ia sudah dilakukan,” kata Lady Vivian ke dalam telefonnya. “Saya tak akan terima sebarang alasan. Kamu tahu kan betapa pentingnya pesta ini, dan kita tidak mampu untuk melakukan sebarang kesilapan. Cukuplah ia dipolitikkan lebih dari sepatutnya. Ini sepatutnya menjadi perayaan untuk segala perkara mengenai British.” Dia mengeluh. “Ini diperlukan. Peperangan itu panjang dan kejam. Sesuatu yang baik seperti acara ini akan menggembirakan dan memanfaatkan semua orang.”

Anya tidak tahu Lady Vivian sedang bercakap dengan siapa. Tetapi mereka semestinya telah menyampaikan berita buruk, dan dia harapkan perkara ini tidak akan menunda apa-apa mengenai pesta itu. Mereka semua telah bekerja keras untuk memastikan ia berjaya. Dia merenung tangannya dan cincin opal pemberian neneknya. Corak daun floral terbentuk di sisi logam perak dan mengelilingi opal bulat di bahagian atas. Ketika neneknya memberikan cincin itu kepadanya, dia diberitahu untuk mengikut kata hatinya. Dia menyimpan nasihat itu dalam mindanya ketika dia mula bekerja di Institut Filem British.

“Baiklah,” kata Lady Vivian. Suaranya penuh dengan kekecewaan. “Apa-apa beritahu saya. Saya akan ke tapak South Bank tidak lama lagi.” Dia meletakkan telefonnya dan mengalihkan perhatiannya ke arah Anya. “Tolong katakan yang itu kopi,” katanya lagi.

“Ya,” Anya menjawab dan menghulurkan cawan itu kepadanya. “Saya fikir Puan mungkin memerlukannya. Saya boleh dapatkan teh…”

Lady Vivian menggelengkan kepalanya. “Tak, kopi itu sempurna. Ibu saya seorang warga Amerika dan dia lebih sukakanya, jadi saya pun mula menghargai kedua-dua kopi dan teh.” Dia senyum. “Kamu dah bersedia untuk hari yang menarik tapi memenatkan?”

“Ya.” Anya senyum ke arahnya. “Saya akan ke Telekinema tidak lama lagi. Saya dah selesaikan segalanya disini. Ada apa-apa lagi yang perlu saya lakukan sebelum saya pergi?”

Dia menggelengkan kepalanya. “Tak. Saya akan pergi setelah saya habiskan kopi ini. Jumpa di sana, dan tolong suruh Ben cari saya dengan segera. Saya nak bincang tentang set pertama filem yang akan kita tayangkan di panggung wayang. Ada sedikit perubahan yang perlu dilakukan.”

“Baik.” Anya mengangguk. Apa yang telah berubah? Mereka telah bincangkan segalanya sejak berbulan yang lalu, dan bangunan-bangunan tidak didirikan dalam masa satu malam. “Saya akan beritahunya apabila saya tiba di Telekinema. Dia sepatutnya sedang mengurus filem yang pertama sekarang. Saya percaya itu bukan yang bakal berubah.”

“Bukan itu,” Lady Vivian memastikan. “Beberapa yang kemudian akan diubahsuai. Kita masih akan gunakan barisan yang sama, cuma ditayangkan dalam susunan yang berbeza dan pada hari yang berbeza. Malangnya, program-program sudah pun dicetak dan tidak boleh diubah. Kita akan pastikan ia ditampal di khemah supaya penonton tahu akan perubahan ini.”

Anya tiada apa-apa untuk ditambah, jadi dia hanya angguk dan berpaling untuk pergi. Sebaik dia tiba di pintu, Lady Vivian memanggilnya. “Tunggu.”

“Ya?” tanya Anya.

“Kamu dah siapkan memo yang saya suruh kamu tulis itu?”

“Semestinya. Puan nak semak terlebih dahulu sebelum saya hantarkannya?” Dia sepatutnya tahu yang Lady Vivian pasti ingin lakukan itu. Bosnya kadangkala boleh menjadi sedikit mengawal. Dia akan meneliti semua perkara yang ada namanya atau yang dia ada memainkan peranan.

“Ya,” dia menjawab lalu memandang dokumen-dokumen atas mejanya. “Berikan kepada saya sebelum kamu pergi. Jika ada sebarang perubahan, saya akan buatkan nota. Macam mana pun, saya nak hantarkan ia esok secepat mungkin kepada semua jabatan.”

Anya pergi ke mejanya dan mengambil memo itu dari timbunan kertas-kertas yang sudah ditaip. Kebanyakannya perlu dimasukkan ke dalam sampul sebelum dihantar. Mereka masih memerlukan tandatangan Lady Vivian, dan dia tidak mahu menguruskan itu sehingga dia pasti pesta itu berjalan dengan lancar. Lagipun, surat-surat itu bukanlah berkepentingan. Dengan memo di dalam tangannya, dia pulang ke pejabat tadi. “Ini memonya,” dia beritahu Lady Vivian.

“Baiklah,” katanya. “Letakkan di atas meja saya.” “Ada apa-apa lagi?” “Tidak.” Lady Vivian memandangnya lalu tersenyum. “Pergi nikmati diri kamu dan jadikan hari ini yang terbaik bagi semua warga Britain.” “Saya akan berusaha,” Anya memberitahunya. Dia tinggalkan pejabat Lady Vivian, dan menghala keluar bangunan itu. Jantungnya berdegup laju dalam dadanya. Dia tidak mengapa, tetapi ia seakan sesuatu yang luar biasa bakal menimpanya. Mungkin ini hanya mainan perasaan, tetapi buat seketika, dia berasa tidak senang. Dia membuang perasaan itu sebaik mungkin dan keluar dari bangunan itu. Jika dia bergegas, mungkin dia sempat menaiki bas terdekat ke South Bank. Anya bergegas menyusuri jalan dan berhenti berhampiran perhentian bas. Dia tidak perlu tungggu lama apabila sebuah bas merah dua tingkat berhenti di hadapannya. Setelah pintu terbuka, dia jejak masuk ke dalam dan duduk. Sudah tidak lama untuk dia tiba di Telekinema dan dia dapat belajar sendiri tentang segalanya yang terlibat dalam menayangkan filem kepada ratusan orang pada satu masa.

Anya merenung ke luar tingkap ketika bas melintasi beberapa jalan terkenal London. Perjalanan dari bangunan Lady Vivian ke South Bank sungai Thames adalah pendek. Rumah pangsa Anya terletak di antara kedua-duanya. Ibu bapanya lebih sukakan sekiranya Anya tinggal di rumah, tetapi untuk bergerak dari Mayfair boleh menjadi agak memenatkan kadangkala, dan dia tidak ingin membeli kenderaannya sendiri. Tidak selagi dia boleh berjalan ke kebanyakan tempat atau menaiki bas bagi perjalanan yang lebih jauh. Mungkin dia lain dari yang lain, dimana dia enggan menayang kekayaannya. Dia cuba untuk tidak menggunakan gelarannya dengan kerap. Lady Vivian tahu akan ibu bapa Anya tetapi dia menghormati kehendak Anya untuk tidak menggunakan gelarannya. Dia hanya akan menggunakannya apabila dia hadirkan diri dalam acara kelas atasan dan perkara itu dijangkakan.

Bas telah tiba di sebuah perhentian berhampiran sungai. Dia berdiri untuk keluar, bersama beberapa orang yang lain. Sudah ada barisan di pagar. Sekurang-kurang ia tidak akan gagal sepenuhnya seperti yang dijangkakan oleh beberapa orang. Lady Vivian pasti gembira melihat orang ramai. Pesta itu dimaksudkan untuk disambut di seluruh negara, tetapi pesta utamanya diadakan di lokasi South Bank. Beberapa kawasan berbeza mempamerkan hasil seni, muzik, sains, dan filem. Seni binanya juga direka khas bagi pesta tersebut. Tiada perbelanjaan yang terhindar. Anya pergi ke pintu masuk belakang bagi mereka yang bekerja untuk pesta tersebut. Dia menunjukkan buktinya kepada pengawal dan mereka membenarkan dia masuk, terus ke arah kebanggaan pesta Institut Filem British. Telekinema adalah sebuah panggung wayang seni yang mempunyai 400 tempat duduk yang dikendalikan sepenuhnya oleh Institut Filem British. Mereka mempunyai rancangan untuk menayang filem, tayangan televisyen, dan juga filem 3D. Ini kali pertama di mana kebanyakkan pengunjung dapat menonton gambar yang ditayang di televisyen. Anya teruja untuk membawanya kepada orang ramai. Suatu hari nanti, ia mungkin akan menjadi satu norma bagi acara besar seperti Pesta Britain.

Dia merayau ke kawasan dimana projektor sedang dipasang untuk menayang beberapa filem. Ben berdiri berdekatan, sedang bercakap dengan salah seorang pengiring yang akan bekerja semasa pameran. “Beritahu yang lain untuk berdiri dibelakang teater sebaik sahaja filem bermula. Tiada siapa suka apabila pandangan mereka diganggu tanpa perlu. Tugas kamu adalah memerhati penonton dan pastikan tiada yang membuat masalah. Sebarang masalah dan mereka akan diusir dari teater tanpa sebarang penyataan. Faham?”

Lelaki muda itu mengangguk. “Saya akan sampaikan pesanan tersebut.”

“Bagus,” kata Ben. “Kita akan buka dalam masa sejam. Pergi sediakan semua orang.”

Pesta itu sendiri akan dibuka kepada orang ramai dalam masa beberapa minit. Telekinema ditutup rapat sehingga dibuka secara rasmi. Lady Vivian akan berada di sana untuk memberikan ucapannya di hadapan dan di acara potong riben tidak lama selepas itu. Kemudian, orang ramai boleh membeli tiket masuk ke teater dan menonton filem yang dijadualkan untuk hari itu.

Apabila pengiring muda itu berlalu pergi, Anya pergi ke arah Ben dan meletakkan tangannya ke atas bahu Ben. Dia terperanjat. “Ish, Anya, kamu cuba bagi saya mati muda sebab sakit jantung ke?”

“Maaf,” dia meminta maaf. “Saya tak bermaksud nak terkejutkan kamu. Lady Vivian meminta saya untuk sampaikan sebuah pesanan.”

“Tak mengapa,” katanya. “Saya asyik terperanjat hari ini. Bos beritahu apa?”

Anya menyampaikan pesanan tersebut dan Ben catat ke dalam bukunya. “Baiklah, saya akan uruskannya. Bukankah dia patutnya sudah berada disini?”

“Ada beberapa perkara terakhir yang dia perlu lihat sebelum dia datang. Dia akan tiba untuk acara besar.”

Ben tidak kelihatan gembira. Mungkin ini menuanya sebelum tiba waktunya. Ben tidak sebegitu tua dari Anya. Paling kurang, dia tua lima tahun dari Anya berumur 21, tetapi dia kelihatan lebih tua dari Lady Vivian yang akan menyambut hari jadi ke-34 dalam masa beberapa bulan akan datang. Ben mempunyai bintik gelap di bawah matanya, dan kulitnya kelihatan lebih pucat daripada biasa. Rambutnya yang perang tidak membantunya untuk kelihatan muda. Ia terlalu cerah sehingga ia hampir kelihatan putih. Ben mengusut rambutnya, meninggalkan ia dalam keadaan yang semak. “Ini telah menjadi serabut.”

Anya memandang kelilingnya tetapi tidak melihat situasi seperti yang Ben katakan. “Semuanya nampak lancar bagi saya. Semua orang lakukan tugas masing-masing, dan bila tiba masa untuk membuka pagar, semuanya akan berjalan dengan lancar.”

“Dari bibirmu ke...” katanya sambil mendongak atas ke arah siling

“telinga-Nya.”

“Saya tak rasa yang kita perlukan kelulusanNya hari ini.” Anya bukan lah seorang yang begitu beragama. Anya tidak mahu percaya akan kuasa atasan atau takdir. Dia ingin membina sendiri perjalanan hidupnya dalam dunia ini dan fikir yang dia sendiri yang membuat pilihan hidupnya, bukan sebarang entiti yang berkuasa.

“Saya terima sebarang jenis sokongan,” kata Ben dengan mudah. “Kita perlukan acara ini untuk berjalan lancar.” Dia tidak salah. “Ia akan baik-baik sahaja.” Nada Anya tidak sebegitu bersemangat, tetapi dia tidak tahu apa lagi yang dia boleh katakan kepadanya. Dia ingin berjalan-jalan dan meneroka segalanya. Perkara terakhir yang dia mahukan ialah menjadi sistem sokongan Ben seorang diri.

“Saya...” suara Ben semakin perlahan ketika sesuatu menarik perhatiannya. “Berhenti!” jeritnya. “Apa yang kamu sedang lakukan?” Nadanya semakin cemas dan tangannya mula melambai. Dia bergerak kehadapan, mungkin untuk berhentikan orang yang dia jeritkan tadi daripada melakukan apa sahaja yang dia fikir salah.

Anya tak kisah, tetapi peliknya Anya berminat untuk tahu. Dia mengeluh dan mula berjalan pergi. Akan tetapi, pada saat akhir, dia menoleh ke belakang. Seseorang sedang membawa sebuah kotak projektor yang besar, dan penglihatannya kelihatan terganggu disebabkannya. Ben sambung melambai tangannya dengan cemas. Orang yang membawa kotak itu tersadung wayar dan kotak tersebut terbang ke hadapan. Anya cuba untuk mengelak, tetapi tidak berjaya. Kotak itu jatuh ke atasnya, dan menghempasnya ke atas lantai. Kepalanya terhentuk lantai beberapa kali. Bilik itu mula kelihatan memusing dan semuanya menjadi gelap. Sebarang fikiran di mindanya pudar ke dalam kegelapan.

2

BAB 2

Kepala Anya berdenyut bagaikan penukul-penukul kecil sedang mengetuk pada ribuan bahagian di tengkoraknya, tetapi mereka nampaknya lebih utamakan bahagian dahi atas matanya. Dia takut untuk membuka kelopak matanya, takut sakit itu akan bertambah. Apa yang telah terjadi kepadanya? Dia tidak ingat bagaimana dia telah mencederakan dirinya, dan dia tidak mahu tahu.

Cahaya terang tersinar di atasnya, memaksa Anya untuk menghalang dengan lengannya. Dia tolehkan kepalanya sehingga matanya, yang masih tertutup, ditekup dengan bahagian lipatan lengannya. “Siapa pula yang buka lampu?” katanya dengan marah.

“Sudah tiba masa untuk bangun, Cik Ana,” kata seorang wanita. “Duke dan duchess akan ke bawah untuk sarapan sebentar lagi. Ayah kamu harap kamu dapat menjadi seorang wanita sejati.”

“Saya memang wanita sejati,” dia betulkan wanita itu. Pangkat Lady memang telahpun diberikan kepadanya. “Saya tak rasa begitu sihat. Tolong sampaikan salam.” Anya selesakan dirinya ke dalam selimut. Kata-kata wanita itu terngiang-ngiang dalam kepalanya. “Siapa duke dan duchess?” Lebih pentingnya, siapa perempuan ini, dan kenapa dia begitu selesa memecah masuk bilikAnya? Ada sesuatu yang tidak kena.

Dengan penuh berhati-hati, Anya menurunkan selimutnya dan membuka sebelah matanya. Wanita tersebut berpakaian labuh berwarna kelabu kusam. Ia kelihatan... kuno. Anya tidak dapat fikirkan istilah yang lebih baik untuk menerangkan wanita itu. “Kamu siapa?”

“Sudah, sudah, Cik Ana,” katanya sambil menghayunkan jarinya. “Pura-pura sakit tidak akan keluarkan diri kamu dari situasi ini. Kamu tahu tanggungjawab kamu.” Wanita itu mengangkat pakaian biru yang kelihatan lebih mewah daripada pakaian kelabunya, tetapi ia masih kelihatan lama. “Ini pakaian hari kamu. Selepas sarapan, kamu akan bersiap sedia untuk menaiki bot. Perjalanan kamu jauh, dan ia akan makan masa untuk tiba di Jerman.”

Dia panggil Ana? Dia terlepas panggilan itu pada kali pertama. Wanita itu fikir Anya itu orang lain ke? Dia menggigit bibir bawahnya, hairan tentang semua yang sedang berlaku. Kepalanya masih berdenyut dengan kuat. Ada satu sahaja cara untuk tangani situasi ini – ikut sahaja. Dengan perlahan, Anya cuba untuk duduk. Baju tidurnya juga pelik. Dia perlu telefon ibu bapanya dan tanya mereka kenapa dia perlu jumpa duke dan duchess. Anya tidak kenal wanita ini dan Anya tidak boleh percayakannya. Dia mengerut hidungnya. “Saya perlu pakai itu?”

“Apa salahnya?” Wanita itu memandangnya dan mengerut keningnya. Rambutnya berwarna coklat kusam dan beruban putih, matanya berwarna kelabu yang membuatkan Anya takut. “Ia diperbuat daripada sutera yang paling berkualiti. Kamu sendiri yang pilih corak ini.”

Anya tak pernah berbuat sedemikian, tetapi tiada sebab untuk Anya bertengkar dengan wanita itu. Anya mengeluh dan menghulurkan tangannya. “Baiklah. Bagi sini dan saya akan pakaikan.”

“Kamu tak perlukan bantuan?”

“Saya boleh buat sendiri. Dah bertahun saya pakaikan baju sendiri.” Jelas sekali yang wanita ini hidup seperti orang dahulu kala. Mana ada orang yang masih ada pembantu rumah.

“Mungkin kamu tidak sihat,” kata wanita tersebut dan datang menghampiri Anya. Wanita itu meletakkan tangannya ke atas kepala Anya. “Kamu tak panas.”

“Tolong jangan sentuh saya,” kata Anya dengan tegas. Dia merampas pakaian tersebut dan terus berdiri. “Sekarang, sila keluar supaya saya boleh tukar pakaian.”

“Hmmph,” kata wanita itu dengan tidak puas hati. “Nampaknya angin kamu baik harini. Mungkin kalau kamu tidak berjaga tengah malam buat entah apa-apa, kamu akan mendapat rehat yang secukupnya, daripada asyik marah-marah pada awal pagi. Jangan lengah-lengah. Duke dan duchess tidak akan tunggu seseorang seperti kamu untuk muncul.” Dengan kata-kata itu, dia hentak kaki keluar dari bilik itu.

Apa maksud dia? Dia ialah Lady Anya Montgomery, dan tiada orang yang pernah cakap sebegitu dengannya. Dia melondehkan baju tidurnya dan lihat ke dalam laci untuk mencari pakaian dalam, tetapi dia tak jumpa apa-apa kecuali sehelai baju sutera pendek. Ini pun boleh lah. Pakaiannya tidak begitu muat, tetapi dia masih boleh pakaikannya buat sementara waktu. Anya pakaikannya dan merenung pakaian birunya itu. Ada butang di bahagian belakang. Anya merungut. Dia bukakan dua butang dan menyarung pakaian itu. Nasib baik kepalanya muat untuk disarung. Anya kemudian bergelut untuk memakaikan dua butang lagi. Sekiranya Anya turun ke bawah, berpakaian selekeh, pastinya wanita teruk tadi akan mencari sebab untuk memarahinya.

Anya menghembuskan nafasnya dan mengeluh. Anya masih tidak tahu di mana dia berada, tetapi dia akan jumpa jawapannya tidak lama lagi. Dia duduk di meja solek dan mengambil sikat. Dia mula menyikat rambutnya yang sekat dan hampir terjerit. Bukan sebab sakit yang masih berdenyut di kepalanya, tetapi sebab bayangan yang muncul di cermin. Itu bukan Anya. Dengan perlahan, dia mengangkat tangannya dan menyentuh mukanya. Dia menekankan jarinya ke dalam pipinya beberapa kali sehingga menghasilkan kesan dari kukunya. Namun, dia terus menekan... dengan harapan... dengan penuh doa agar perkara yang dia takuti tidak akan menjadi kenyataan. Tak mungkin ini kenyataan. Ini adalah mimpi buruk... yang dia tidak dapat bangun.

Wanita itu panggil Ana, bukan Anya. Namanya cukup hampir untuk dia tidak sedar. Bagaimana kalau dia bukan lagi Anya, tetapi dia telah menjadi Ana. Mungkin itu dapat menerangkan segalanya. Namun, ia masih tidak dapat menerangkan bagaimana dia boleh dapati dirinya bangun dalam tubuh wanita lain. Ini seperti plot filem yang teruk, dan dia tidak sukakannya walaupun sesaat. Dia ingin menutup matanya dan mulakan semula harinya. Nampaknya ia mustahil.

Mungkin tidak... Dia boleh pergi baring dan menutup matanya. Kemudian, bila dia bukakan matanya sekali lagi, mungkin semua ini akan berakhir. Tiada lagi pertukaran tubuh dan pembantu rumah jahat yang akan seksanya. Patutkah dia sekurang-kurangnya cuba? Anya bergegas kembali dan memanjat katilnya. Dia menarik selimut menutupi kepalanya dan tutup rapat kelopak matanya.

Tiada apa-apa.

Mindanya tidak dapat berhenti fikir, dan nampaknya tidur itu mustahil. Dia perlu hadapi realiti; mimpi buruk ini telah menjadi kenyataan. Dia baring buat seketika, sukar untuk percaya, tetapi faktanya tetap sama. Namun, dia perlu hadapi kehidupan sebagai Ana dan cuba untuk tidak merosakkannya. Itu sama mustahil dengan situasi yang dia sedang hadapi...

Duke dan duchess ini, siapa pun mereka, mengharapkan seseorang bernama Ana untuk turun ke bawah. Jika dia gagal berlakon menjadi wanita ini, apa yang mereka akan katakan kepadanya? Dia perlu dapatkan sebanyak informasi yang boleh tanpa mendedahkan dirinya. Dia sudahpun gagal apabila dia menghalau pembantu rumah itu keluar dari biliknya.

Anya menarik nafas yang dalam dan menyikat rambutnya. Dia kemudian mendandan dan menyanggul rambutnya di bahagian bawah belakang lehernya. Ia tidak kelihatan anggun, tetapi sekurang-kurangnya ia sesuai dengan gaunnya yang kuno dan ketinggalan – sekurang-kurangnya itu pendapat Anya... Setelah itu selesai, Anya mencari kasutnya dan tinggalkan bilik itu. Setiap langkahnya diiringi dengan doa agar dia berjaya mencari ruang makan tanpa sebarang insiden...

Nampaknya nasib berpihak kepadanya... Dia terbiasa dengan rekaan rumah tersebut dan mencari sudut sarapan menjadi mudah. Anya menjejaki masuk ke dalam bilik tersebut dan dapati, apa yang dia fikir, sebuah keluarga empat beranak. Seorang lelaki, barangkali duke tersebut, duduk di hujung kepala meja, isterinya disebelahnya, seorang gadis yang berumur lingkungan 16 tahun, dan seorang kanak-kanak lelaki yang setengah umurnya.

Seorang wanita, yang dia fikir ialah duchess, memandangnya dan berkata, “Cik Ana.” Wanita itu berambut coklat keemasan dan matanya berwarna biru terang. “Sila sertai kami.” Dia mengarahkannya untuk duduk di sebelah kanak-kanak lelaki tadi. “Mathias,” katanya dengan marah. “Jangan main dengan oatmeal kamu dan makan.”

Anya cuba untuk tidak senyum dan duduk di sebelah kanak-kanak itu. Dia tunduk dan berbisik, “Saya pun tak gemar oatmeal.”

Dia memandang Anya dan mengerut keningnya. Matanya berwarna biru kelabu yang sangat cantik. Kanak-kanak itu memiringkan kepalanya dan merenung Anya, kemudian berkata, “Kamu siapa?”

Anya menelan air liurnya, takut dengan soalannya. Bagaimana dia harus menjawab soalan itu? Adakah dia betul-betul maksudkannya, dan jika ya, adakah dia sedar yang Anya bukanlah wanita yang mereka sangkakan. Anya tidak sempat untuk menjawab soalannya apabila seorang pembantu rumah datang meletakkan pinggan di hadapannya dan mengisikannya dengan telur hancur, daging, dan roti bakar. “Terima kasih,” kata Anya. Dia menahan dirinya. Kepalanya masih sakit dan sekarang perutnya pula rasa sakit. Dia memandang ke hadapan dan tersentak apabila matanya bertemu dengan mata gadis di hadapannya. Di hadapannya, dia tidak sedar... “Lady Vivian,” katanya dengan penuh berhati-hati. Tak mungkin...

“Ya,” kata Lady Vivian, bingung. “Kenapa?”